Wednesday 23 November 2011

ZAKAT EMAS DAN PERAK


Seorang Muslim yang mempunyai emas dan perak wajib mengeluarkan zakat bila cukup nisab dan haulnya. Tidak ada khilaf di kalangan fuqaha tentang wajib zakat pada emas yang disimpan.Adapun nisab emas yang diwajibkan zakat ialah 20 mitsqal bersamaan dengan 85 gram. Maka dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripadanya, sementara nisab perak pula ialah 595 gm.

Contohnya anda mempunyai sekeping jongkong emas 250 gm, maka cara pengiraan selepas cukup setahun ialah:
250 gm – 85 gm = 165 gm (berat emas yang kena zakat)
Katakan harga emas pada ketika itu ialah RM 160, maka :
165 gm x RM 160.00 x 2.5% = RM660
RM660 ialah jumlah yang perlu dibayar.
Manakala zakat emas bagi perhiasan wanita, ada khilaf di kalangan fuqaha. Jumhur berpendapat emas yang dipakai sebagai perhiasan wanita tidak dikenakan zakat KECUALI jika ia melebihi URUF (nilai pemakaian setempat yang dibenarkan).
Sekiranya melebihi URUF, maka ianya wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% atas nilai lebihan dari URUF itu.
Sebagai contoh, uruf perhiasan emas wanita di negeri Selangor ialah: RM6,500. Maka jika seseorang memakai perhiasan emas yang bernilai RM9,000 maka zakatnya ialah:

(kadar yang dipakai – kadar uruf) x 2.5% = kadar zakat.
(RM9,000 – RM6,500) x 2.5% = RM62.50
Jika emas perhiasan itu tidak dipakai, contohnya seorang wanita mempunyai 100 gm emas perhiasan yang tidak dipakai dan hanya disimpan maka ia akan dikenakan zakat sebanyak:
100 gm – 85 gm = 15 gm
Katakan harga emas pada masa itu ialah RM 160 untuk 1 gm maka zakat yang dikenakan ialah:
15 gm x RM160.00 x 2.5% = RM60
RM 60.00 ialah jumlah yang ;perlu dibayar
Keterangan :
Cara mengira zakat perak adalah mengikut cara di atas dan mengambil kira harga perak semasa.
Wallahu A’lam

No comments:

Post a Comment